Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

25.4.11

Awan Nano

Assalamualaikum wbt...


Sedang leka berbaring2 di atas katil,hati ini berasa sayu tatkala melihat potret keluarga tersayang terlekat di dinding.Kelihatan wajah abah yang makin di mamah usia. Rambutnya yang dulunya hitam berkilat kini semakin diganti dengan kilauan uban yang memutih."Makin blonde,"kata abah. Mungkin itu baginya gurauan untuk menyedapkan hati anak2 dan isteri,walau di sudut hati mula mengakui dirinya makin hampir menyahut seruan Ilahi.


Memori dahulu pantas menyelinap masuk ke dalam kotak fikiran. Masih segar di ingatan ketika beberapa hari sebelum ibu dan abah hendak mengerjakan ibadat haji. Abah memanggil kami 3 beradik. Ingin berwasiat apa-apa yang perlu katanya sebelum terlambat. Abang dan adikku sudah mula menggugurkan titik-titik air mata tatkala abah berkata sebegitu. Aku? Ah,hati ini yang terlampau keras dek tidak selalu menitiskan air mata,hanya berkelakuan biasa apabila mendengar kata-kata abah itu.

"Abah dengan ibu mungkin tidak akan pulang setelah mengerjakan haji ni.Kalau ditakdirkan abah pergi dulu,along,angah jaga ibu dengan adik baik-baik. Sama macam mana abah jaga kamu berdua.Andai kami berdua ditakdir pergi bersama,sama juga,abah tanggungjawabkan along dengan angah untuk menjaga adik baik-baik. Jagalah adik sehingga saat dia masuk dipinang orang. Kamu hanya 3 beradik. Susah senang mesti bersama. InsyaAllah semua harta dan aset abah dengan ibu telah kami selesai uruskan. Kalau apa-apa terjadi,angah pergi jumpa makcik-makcik kau. Abah dah pertanggungjawabkan mereka dengan segala dokumen-dokumen penting. Along,semua rumah dan kereta abah ni,abah serah kepada kau untuk dijaga. Kau bahagikan lah sama adil semua kereta dan rumah itu kepada adik-adik kau."

Begitulah amanat yang disampaikan oleh orang tuaku. Terasa gelap seketika dunia ini membayangkan bagaimana kehidupan kami andai Allah menjemput mereka berdua ketika kami masih memerlukan mereka.

Hati ini kian terasa apabila mengenangkan ketiadaan abah di sisi. Sejak kecil diri ini memang agak kekurangan kasih sayang dari abah. Abah selalu keluar daerah untuk mencari rezeki bagi menampung hidup kami sekeluarga. Keringat abah yang selalu 'out-station' sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup kami. Tidak mewah bagai sesetengah orang berada,juga tidak kesempitan bagai orang-orang kurang berkemampuan. Namun dek kerana tidak pernah berasa susah,tidak pernah merasa kekurangan wang dan keperluan,kadang-kadang diri ini terleka mengingati yang kesenangan dikecapi hanya sementara. Duit,makanan,minuman,pakaian dan juga abah sebenarnya cuma dipinjamkan seketika Allah kepadaku.

Dek kerana kesenangan itu juga diri ini mula besar kepala. Kata-kata abah sering disanggah. Namun,sekeras mana pun hati seorang lelaki,dia tetap seorang manusia.Hatinya juga mudah terguris andai kata-kata tajam hinggap di permukaan.Apatah lagi diucapkan oleh anak yang dibesarkan tanpa cacat cela.

Ah,begitulah diri ini. Sombong kerana beranggapan diri ini lebih bijak dari abah. Abah cuma sekolah kampung,pergi sekolah dengan pakaian yang lusuh dan tinggal di rumah kayu. Diri ini menganggap belajar di sekolah berasrama penuh dan dikelilingi orang-orang bijak pandai sudah ber'makam' lebih tinggi dari abah. Tidak terlintas di fikiran bahawa budak sekolah kampung seperti abahlah yang telah memasukkan diri ini ke sekolah berprestasi itu.

20 tahun lamanya,baru diri ini merasai kehadiran dan kepentingan abah di sisi. Dulu memang selalu dapat apa yang diminta. Namun,sejak pulang ke Malaysia pada saat darurat di Mesir tempoh hari membuatkan mata kepala dan hati mula terbuka akan kepayahan hidup andai tanpa abah di belakang.

Disebabkan masalah kewangan pejabat yang melanda,abah terpaksa bergantung kepada gaji bulanan ibu untuk membayar segala keperluan. Bukan meminta semua duit milik ibu,walau sudah diberi keizinan oleh ibu,dek kerana ego seorang lelaki dan perasaan kasih seorang suami,abah hanya mengambil yang perlu sahaja dari ibu. Kesempitan hidup tanpa perbelanjaan yang cukup,membuatkan abah terpaksa menebalkan muka meminta-minta di pejabat. Walaupun jelas wang yang dipinta adalah haknya,namun aku kenal sangat dengan perangai abah. Abah tidak suka meminta-minta malah lebih suka memberi. Duit yang sepatutnya diperolehinya,diberi dahulu kepada pekerja-pekerja bawahannya yang lebih memerlukan. Katanya, "itu rezeki mereka,insyaAllah ada rezeki kita nanti ada lah,jangan risau."

Sungguh tenang riak wajah abah. Ternyata rezeki Allah itu sangat luas,seperti dijanjikanNya, "Barangsiapa bertakwa kepadaKu,nescaya akanKu berikan padanya ganjaran padanya dari jalan yang tidak disangka-sangka". Aku mendapat zakat dari kerajaan negeri. Dengan duit yang aku peroleh,aku berikan semua yang ku dapat kepada abah. Jumlahnya ada dalam RM2500. Aku memang merelakan abah untuk mengambil berapa yang dikehendaki. Namun,alangkah terkejut diri ini apabila abah hanya mengambil RM200 sahaja dan selebihnya dipulangkan kepada aku kembali. "Inikan duit kau.Bukan duit abah.Terima kasih ya,angah.Nanti bila abah ada duit abah ganti balik,"itu tuturnya. Bagaikan mahu menitis air mata ini bila mendengar sebegitu.


Kini setelah kembali jauh dari tanah air,sentiasa ku doakan agar abah dipelihara dan dijauhkan dari segala malapetaka dan penyakit agar abah dapat menjaga ibu dan mencari rezeki lagi. Kadang terfikir juga oleh diri ini,alangkah lambatnya hendak habis pengajian.Andai tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan,memang ingin dipaksa agar abah duduk sahaja di rumah,mengerjakan kebun. Fitrah orang kampung,bukan boleh duduk diam. Sudah keringat tinggal di penghujung masih mahu bekerja.

Moga abah dipanjangkan usia sehingga kelak aku dapat membalas jasa-jasanya.Tidak mungkin terbalas semua jasa-jasa abah,tapi sekadar dapat menghiburkan hatinya di dunia dan di akhirat insyaAllah.


(tajuk merupakan salah satu lagu nyanyian Hafiz AF7,berkaitan dengan pengorbanan seorang ayah)